10.3.10

Novel2 Baru Sempena PBAKL 2010



~Damai
Tiga Ceritera dalam Sebuah Damai...








~Versus
Bukan mudah untuk berubah...
dari tanpa arah ke sejadah,
dari tepi jalanan ke sujud
menghadap Tuhan...





-Yuda Di Padang Maya
tiada manusia yang berseorangan ...

Cinta ini menolak hukum alam. Seperti cuba mencampurkan air dengan minyak, mempersahabatkan malaikat dengan syaitan, menyatukan kehidupan dan kematian. Cinta ini cinta yang mustahil.

“Puteri Silfia... kita hamba Tuhan yang sama tetapi dunia kita berbeza...” Azmi merenung mata puteri kayangan di depannya. Di mata Azmi, Silfia amat cantik. Meski bersayap dan bertanduk kecil.
Sampai ke tahap manakah seseorang sanggup berkorban untuk cinta? Sesetengah orang mungkin sanggup kehilangan segala-galanya untuk cinta. Dan mungkin ada yang sanggup merenangi lautan api untuk cinta. Tapi berapa ramai yang sanggup berkelana ke dunia dimensi lain demi cinta?

Untuk cinta Azmi sanggup ke dunia jin! Kerana persahabatan pula tiga siswa USM sanggup ke sana untuk menyelamatkan Azmi dan terperangkap di medan yuda! Tapi bagaimanakah kesudahan perang antara dua bangsa jin itu?

-Bidadari Hujan
Kasihan itu salah satu cabang cinta!


I
Tanpa diduga tatkala hujan sedang turun pada suatu pagi, aku terpanah dek kasmaran untuk pertama kali.

Dia Bidadari Hujan yang memayungi aku dengan payung cintanya! Aku terpesona pada kejelitaannya.
“Harap-harap esok pagi hujan lagi!” kataku sambil menghadiahinya senyum.
Matanya memanah hatiku dengan busur arjuna. Lalu hari-hari selepas itu, aku bukannya lagi Raimy Haidar yang dulu.

II
Hujan mencurah lagi. Diberinya aku sekaki payung.
“Macam mana saya nak pulangkan?”
Langkah dia terhenti. Aku menanti. Perlahan-lahan dia berpusing kembali menghadap aku.
Oh, dia bukannya Bidadari Hujan aku yang dahulu. Tingkahnya penuh pekerti senyumnya penuh erti.
“Simpanlah andai awak rasa mahu menyimpannya. Buanglah andai awak rasa mahu membuangnya.”

Apa jawab hati aku pada saat ini?

Tulisan NOOR AZZAHRA buat yang mahu mentafsir cinta dari sudut yang lain. Benarkah lelaki tidak halus hatinya dalam menzahirkan cinta? Bolehkah cinta datang buat kali keduanya? Tanyalah kepada Bidadari Hujan, biarkan dia yang menjawab semua persoalan anda itu!


-Rindu Jadi Saksi

Kata orang, panas tak selalunya sampai ke petang. Tapi, gerimis yang mengundang kadangkala membawa seribu rahmat yang terselindung. Ketika cinta sedang mekar, seri kasih seakan pudar. Pada usia pernikahan yang masih mentah, mereka disapa dengan pelbagai dugaan. Timbul MMS yang mengharu-birukan keadaan. Sang suami suka memendam rasa dan beranggapan ianya benar. Manakala sang isteri pula sering mengasak pelbagai pertanyaan, mahukan satu penjelasan apakah salahnya hingga mengundang pada perubahan suami tercinta. Wujud konflik yang tidak terungkai. Hanya anggapan yang menjadi perantara bukan kebenaran yang pasti. Walau rindu seluas lautan, walau kasih tiada sempadan, tiada maknanya kalau hanya dipendam. Jauh untuk dimengerti rasa hati jika tidak dizahirkan.

Mampukah rindu menjadi saksi pada sebuah kebahagiaan yang hakiki? Atau akan runtuhkah tembok cinta mereka yang digegar seruan kasih insan ketiga? Selamilah jiwa yang terluka milik Dian Shahira, juga ketinggian ego milik Irfan, serta keluhuran hati milik Han yang sanggup berkorban atas nama sebuah kebahagiaan.

-Cinta Edisi Terhad
"Cintamu membawaku ke langit biru..."

Di bawah timbunan batu bata mereka memulakan bicara. Kisah hati yang sepi, hidup yang malang dan cinta yang tak kesampaian. Mereka sama-sama bermimpi mahu mencapai bintang namun mereka sedar, kaki mereka terantai di bumi.

Bagi Haida Fatma, pertemuan itu mengujakan dan dia mahu mengubah hidup. Masa silam yang hitam mahu dibersihkan buat bekal untuk masa hadapan yang sempurna. Sebaliknya bagi Julia Hana, terperangkap di bawah timbunan batu bata menyedarkan dirinya yang si suami sudah hilang rasa cinta. Jadi, dia harus membebaskan diri dari terus terbelenggu!

Rasa kasih, sayang malah setitis cinta… sudah lama tidak singgah di hati Zira Maya. Yang ada hanya kekosongan. Dia lupa makna bahagia. Dia alpa dengan materialistik dunia. Dihampiri malaikat Maut, dia merasa kerdil dan terpinggir. Tragedi bangunan runtuh itu menemukan mereka bertiga. Perjalanan hidup yang sepi kini seakan terisi. Namun, adakalanya menyayangi amat sukar dilakukan apabila batas diri terus menghantui. Bahagia itu milik mereka yang berusaha. Mampukah mereka meraih cinta yang terhad haknya?

-Layang-layang Bertali Kaca
Tidak tahu kenapa apabila mahu menggetus sampul surat tersebut, hatinya sedikit berdebar.
Lantas gerakan tangannya yang mahu menggetus kad itu, terhenti. Dirabanya kad tersebut. Kad apakah ini? Seperti keras sahaja?
“Takut saya nak bukanya.”
Dia merenung Adli yang berdiri di hadapannya.
“Kenapa?”
“Entahlah. Saya tak pernah menerima kad seperti ini. Ditulis tangan pulak tu. Mungkin bukan untuk saya tak?”
Sedikit teragak-agak Tengku Shariman. Adli ketawa kecil. Sudah nyata di sampul surat itu ditulis nama Tengku Shariman.
Adli menghulurkan tangannya. Tanpa meminta izin daripada Tengku Shariman, kad sudah bertukar tangan.
“Saya bukak, ya?”
Pertanyaan itu menyebabkan Tengku Shariman menganggukkan kepalanya. Dengan perlahan Adli sudah menggetus sampul surat tersebut dan menarik kad yang terkandung di dalamnya.
“Oh… Kad hari jadilah, Tengku…”
“Kad hari jadi?”
Berkerut dahi Tengku Shariman mendengar ucapan yang keluar daripada pembantunya itu dan matanya pantas sahaja tertancap pada kad yang sedang dibuka oleh pembantunya itu.
“Hmm… Dari Manja ni…”
Adli meletakkan kad tersebut di hadapan Tengku Shariman. Orang kaya memang mudah risau dan takut tidak tentu fasal.
Agaknya Tengku Shariman berasakan ada racun di dalam kad tersebut untuk membunuhnya. Sebab itu dia takut untuk membukanya.
“Manja bagi saya kad hari jadi?”
Entah mengapa hati Tengku Shariman seperti ada perasaan yang sukar untuk diucapkan. Perasaan tidak percaya, sedih dan mahu menangis, berbaur menjadi satu.
“Hmm… Bukankah hari jadi Tengku dua hari lagi?”
Walau Tengku Shariman tidak pernah mahu mengingati hari jadinya, tetapi Adli selalu ingat. Tengku Shariman tahu, satu-satunya manusia yang sering mengucapkan selamat hari lahir kepadanya adalah pembantunya itu.

“The greatest gift from ALLAH and I call him papa…”

Terbuka sahaja kad tersebut, Tengku Shariman sudah terbau wangi bunga mawar. Walau tidak kuat, tetapi masih sempat ditangkap hidungnya.
“Manja buat sendiri…”
Suara Tengku Shariman sedikit menggeletar. Ada rasa hiba yang membalun dadanya dan seperti tidak boleh disorok lagi.
Hatinya berulang kali membaca ayat-ayat yang ditulis tangan oleh Manja dengan hati separuh tidak percaya.
The greatest gift from ALLAH and I call him papa…”
Tanpa sedar, Tengku Shariman menyebut bait-bait kata yang berada di dalam kad tersebut.
“Manja yang bagi...”
Adli dapat mengesan perasaan tidak percaya Tengku Shariman itu.
“Cantik!”
Ada terselit perasaan bangga di sudut hati Tengku Shariman. Bangga seorang ayah yang mendapat kad hari jadi buatan tangan anaknya sendiri.
“Memang cantik, Tengku. Agaknya dia rindukan Tengku.”
“Mana dia tahu hari jadi saya?”
“Seorang anak pasti tahu hari jadi ibu bapanya sendiri, Tengku.”
Balas Adli. Dia melihat mata Tengku Shariman berkaca. Kasihan lelaki ini… mempunyai segalanya tetapi kurang kasih sayang. Bagaimana tidak kurang kasih sayang kalau susah mahu mempamerkan kasih sayang… getus hati Adli.
“Cantik…”
Sekali lagi kata-kata itu keluar daripada mulut Tengku Shariman yang akhirnya tidak dapat menahan perasaan. Diletak kad tersebut di dadanya dan dipeluknya dengan rasa hiba yang kemudian menghasilkan sedikit tangisan.

~pilihan hatiku: Damai, Rindu Jadi Saksi dan Bidadari Hujan

sumber: Geng Kicap dan Norhayati Berahim

No comments: