7.10.09

novel baru alaf21 + jemari seni

DYA dinodai oleh abangnya dalam usia yang masih mentah. Namun, dia tidak berani mendedahkan kejadian itu bila ayahnya sendiri tidak pernah mengiktirafnya sebagai anak kandung.

Hidup Dya terus diselimuti mendung bila dia terluka lagi. Encik Nasri yang dianggap prihatin, sekadar mempermainkan perasaannya. Harapan yang disandarkan kepada Syamir juga turut berkecai. Kekecewaan Dya bertimpa-timpa bila mengetahui kedua-dua lelaki itu sebenarnya adalah ‘suami orang’. Ini menambahkan lagi kebenciannya terhadap lelaki.

Kemunculan Zarif, bekas teman sekolah merobek kembali kisah lama. Dya masih ingat, Zarif sering menyakiti hatinya. Malah penghinaan yang pernah dilemparkan, tidak pernah Dya lupa. Dan kerana Zarif juga, dia menjadi anak terbuang!

Sebenarnya, Zarif mahu merawat kelukaan Dya. Tetapi Dya menjauhkan diri kerana takut rahsianya terbongkar! Akhirnya, segunung kebaikan yang Zarif limpahkan membuka mata hati Dya bahawa lelaki itu ikhlas mencintainya.

Namun, sudahkah dia bersedia menerima lamaran Zarif sedangkan bayangan silam terus menghantuinya?


********************************

biar setinggi mana langit digapai, sedalam mana bumi digali, takkan kau temui cinta hakiki, kerana cinta itu letaknya di hati seorang abdi

Kerana pasir, terbentuknya mutiara. Kerana tanah, lahirnya manusia.

Ini sebuah kisah kembara di atas bumi Tuhan. Kembara hati dalam jiwa hamba. Kembara daripada hina kepada mulia. Ini kisah kembara hidup. Kembara dia mencari mutiara cinta di laut dalam, dan kembara mereka menemui cinta Dia di langit nan tinggi.

Kata Raudhah, dia punya sejarah jahiliah tersendiri.
Katanya pula, Raudhah ibarat bidadari yang turun dari langit untuk menyebarkan keindahannya.


Lalu kata mereka:

langit kawannya bumi
laut pasangannya pantai
siang temannya malam
petang sahabatnya pagi
isteri pula pendampingnya suami

Bukankah kita diciptakan berbeza untuk saling melengkapi, lantas nikmat Tuhan yang mana lagi mahu didustakan?

No comments: